Selamat datang ke Pusat Sumber SK Bayan Lepas 2 .. Membaca Nadi Ilmu >>>> Selamat datang ke Pusat Sumber SK Bayan Lepas 2 .. Membaca Nadi Ilmu >>>> Selamat datang ke Pusat Sumber SK Bayan Lepas 2 .. Membaca Nadi Ilmu >>>>

Saturday, 29 July 2017

KEM INTEGRASI MALAYSIA - THAILAND


Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Barat Daya, Pulau Pinang dengan kerjasama MIT (Malaysia-Indonesia-Thailand) Organisation telah mengadakan kem integrasi pada 21 hingga 23 Julai 2017 yang melibatkan tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand. Kem tersebut diadakan di Sekolah Wangdee, Songkhla, Thailand dan kawasan sekitarnya. Program ini turut disertai beberapa sekolah seperti SK Bayan Lepas 2, SK Balik Pulau, SK Sungai Batu, SK Seri Permai, SJKC Sacred Heart dan SJKC Chung Shan.
             Tujuan utama kem ini diadakan adalah untuk menjalin hubungan bermakna dalam bidang pendidikan, memahami budaya masyarakat ketiga-tiga negara, memperluas minda dan mendapat pengalaman baharu serta pendedahan mengenai budaya dan cara hidup masyarakat di Thailand. SK Bayan Lepas 2 telah disertai oleh 13 orang murid dan lapan orang guru pengiring termasuk Guru Besar.

21 Julai 2017

            Pada jam 5.30 pagi, semua peserta, guru pengiring, dan pegawai PPD telah berkumpul di perkarangan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang. Selepas mendengar taklimat daripada pegawai PPD Encik Izemar, delegasi yang terlibat bergerak ke bas masing-masing mengikut senarai nama yang telah ditetapkan. Pada jam 6.00 pagi, semua peserta memulakan perjalanan menuju ke Imigresen Sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam. Sebaik sahaja jam 12.00 tengah hari, semua urusan berkenaan dokumen dan pasport ke negara Thailand telah selesai. Kemudian, kami menuju ke Restoran Chalee D’Hatyai di Hatyai untuk hidangan tengah hari.
** 

            Selesai makan tengah hari, delegasi dari Malaysia terus bergerak ke Sekolah Wangdee, Songkhla untuk majlis perasmian kem integrasi ini. Kehadiran wakil peserta dari Malaysia disambut dengan meriah oleh pihak tuan rumah, Thailand. Majlis perasmian bermula pada jam 2.00 petang waktu tempatan. Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh tuan rumah seterusnya disusuli dengan ucapan wakil delegasi Indonesia dan Malaysia. Kemudian, gimik perasmian turut diadakan oleh barisan wakil pentadbir dari setiap negara. Acara perasmian kem integrasi ini juga turut diserikan lagi dengan persembahan kebudayaan yang menarik oleh kanak-kanak cilik negara Thailand.

**

            Sebaik sahaja selesai acara perasmian, semua peserta yang terdiri daripada murid-murid sekolah rendah berkumpuldan dibahagikan ke dalam beberapa kumpulan kecil untuk aktiviti yang seterusnya. Aktiviti berkumpulan yang pertama dijalankan bertempat di General Prem Tinsulanonda Historical Park. Di situ, murid-murid akan mengenal sejarah sistem pemerintahan beraja di Thailand dan tokoh-tokoh terdahulu yang memerintah negara ini. Bukan sekadar memerhati dan melihat maklumat serta info di muzium ini, murid-murid juga turut diterangkan dengan lebih lanjut oleh fasilitator. Bahasa perantaraan yang digunakan ialah bahasa Inggeris. Selepas selesai aktiviti di muzium, murid bergerak pula ke Mangrove Forest untuk aktiviti yang seterusnya. Setiap peserta akan dibekalkan bersama modul latihan yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Apabila selesai sahaja aktiviti, murid-murid akan menjawab soalan atau kuiz berkaitan aktiviti dengan menggunakan modul yang disediakan.

**

            Selepas selesai aktiviti dalam kumpulan pada petang tersebut, semua peserta dan guru pengiring pulang ke bilik penginapan masing-masing. Sekitar jam 6.00 petang, semua peserta bergerak ke dewan makan untuk hidangan makan malam. Pada jam 7.00 malam pula, semua delegasi dari Malaysia, Indonesia dan tuan rumah, Thailand bergerak ke dewan program untuk persembahan malam kebudayaan. Pelbagai pertunjukan dan persembahan yang telah dipersembahkan oleh wakil murid bagi ketiga-tiga buah negara pada malam tersebut. Semua tetamu dan peserta yang hadir berasa sangat terhibur.

**

22 Julai 2017

            Aktiviti kem pada hari kedua dimulakan dengan acara senaman pagi di sekitar kawasan Historical Park. Kemudian, para peserta akan berada di dalam kumpulan yang telah dibahagikan untuk menaiki bas menuju ke Folklore Museum di sekitar kawasan Songkhla untuk aktiviti berikutnya. Di muzium tersebut, murid-murid akan mempelajari tentang sejarah Thailand dan aktiviti tradisional masyarakat di Thailand.

            Selepas itu, para peserta bersama fasilitator bergerak pula ke Weaving Shop untuk mempelajari seni kraftangan masyarakat Thailand. Murid-murid begitu terhibur dan bersemangat untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang dijalankan. Bukan itu sahaja, murid-murid juga turut belajar cara menenun kain songket Thailand yang dipakai untuk upacara rasmi negara itu.

**

            Sebaik sahaja selesai aktiviti berkumpulan di lokasi yang dilawati, para peserta bergerak ke Pantai Samila yang terkenal di Songkhla. Di pantai tersebut, semua peserta menikmati makan tengahhari yang telah disediakan oleh pihak penganjur. Murid-murid dan guru pengiring juga turut mengambil peluang untuk melawat sekitar kawasan tersebut di samping membeli barang-barang perhiasan yang menarik dijual di pantai itu.

            Pada jam 4.00 petang waktutempatan pula, guru pengiring dan murid-murid bergerak ke Klonghae Floating Market yang terletak di Hatyai. Di situ, murid-murid dan guru berpeluang untuk menikmati makanan-makanan yang unik, sedap dan menarik. Pelbagai jenis barangan yang murah dan berkualiti juga turut dijual di pasar tersebut. Tidak hairan jika pasar terapung tersebut menjadi tumpuan pelancong yang datang melawat negara ini. Selepas selesai membeli-belah, para peserta pulang ke bilik penginapan masing-masing dengan menaiki bas yang disediakan.
 **

            Pada sebelah malam, diadakan pula slot aktiviti dalam kumpulan di dewan program tersebut.  Dalam slot ini, beberapa orang wakil murid dari setiap negara akan memberikan komen dan pendapat tentang aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sepanjang kem ini berlangsung. Bukan itu sahaja, sesi pertukaran hadiah bagi setiap murid dengan peserta dari negara yang berlainan juga turut diadakan untuk mengeratkan lagi hubungan perkenalan dalam kem ini.

**


23Julai 2017

            Pada pagi hari ketiga iaitu hari terakhir kem integrasi ini, semua wakil bagi setiap delegasi berada di dewan program untuk majlis penutupan Kem Integrasi Malaysia, Indonesia dan Thailand. Majlis dimulakan dengan ucapan wakil setiap negara dan diserikan dengan tayangan video aktiviti yang telah dijalakan sepanjang kem ini berlangsung. Sesi pertukaran cenderamata bagi setiap negara juga turut diadakan sebagai tanda penghargaan dan ingatan. Seterusnya, setiap sekolah dan negara bergambar bersama-sama dengan wakil tuan rumah sebelum program melabuhkan tirainya pada hari tersebut.

**

            Tepat jam 12.00 tengah hari, peserta delegasi dari Malaysia berangkat pulang ke Malaysia. Dalam perjalanan tersebut, para pegawai, guru-guru dan murid-murid mengambil kesempatan untuk berkunjung ke Plaza Hatyai dan kawasan untuk membeli buah tangan untuk dibawa pulang ke tanah air.

            Selepas selesai urusan berkenaan dokumen dan pasport di imigresen sekitar jam 5.00 petang, para peserta terus bergerak pulang ke Pulau Pinang, Pada jam 10.00 malam, rombongan kem selamat tiba semula di Perkarangan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

**

7.0       PENUTUP


            Menjadi harapan agar murid-murid sekolah rendah daerah Barat Daya dapat mempelajari kebudayaan dan cara hidup masyarakat Thailand dan mampu membanding beza kebudayaan Malaysia. Pengalaman silang budaya yang dipelajari dapat menambah pengalaman murid-murid serta meningkatkan kualiti kemenjadian murid-murid di setiap sekolah.


Friday, 24 February 2017

MAJLIS PELANCARAN NILAM 2O17


Tema :  “MEMBACA TERAS ILMU, JAMBATAN UNTUK KEJAYAAN”

Matlamat  : Memupuk minat membaca dan cintakan bahasa dalam kalangan murid.

Objektif  Penganjur

  1. Meningkatkan budaya mendampingi buku.
  2. Melahirkan warga sekolah yang cintakan buku..
  3. Memupuk minat membaca sebagai satu amalan ke arah membina budaya pembelajaran yang berterusan.

Laporan 

Pada 24 Februari 2017, Unit NILAM Sekolah Kebangsaan Bayan Lepas 2 telah mengadakan Majlis Pelancaran NILAM 2017. Majlis dimulakan pada pukul 8.00 padi iaitu selepas bacaan Yasin. Bacaan doa telah diketuai oleh En. Mohd Shahrizan bin Othman.

Selepas itu, majlis diteruskan dengan ucapan Penyelaras NILAM. Beliau mengingatkan murid-murid untuk mengadakan buku NILAM bagi mencatat jumlah bacaan buku murid-murid. Beliau juga memaklumkan terdapat hadiah misteri untuk pembaca buku NILAM terbanyak.
Setelah itu, En. Othman bin Mat selaku PK Hal Ehwal Murid telah merasmikan majlis pelancaran NILAM 2017. Selepas itu, majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan daripada murid-murid.
Bagi menyempurnakan lagi gimik pelancaran, En. Othman bin Mat telah menandatangani ‘Big Book’ Pelancaran NILAM 2017. Beliau juga telah memberi sijil pengiktiran kepada guru-guru NILAM 2016.
 Adalah diharapkan Program Pelancaran NILAM Peringkat Sekolah 2017 ini dapat dilaksanakan dengan penuh jaya dan mendapat sokongan daripada pihak pentadbir, para guru, staff sokongan dan para murid sendiri. Semoga dengan menyertai aktiviti-aktiviti sokongan yang dijalankan, para murid akan sedar akan kepentingan budaya membaca yang dapat menjana pemikiran.


Monday, 6 February 2017

MAJLIS PENTAULIAHAN PENGAWAS PUSAT SUMBER



Majlis Pentauliahan Pengawas Pusat Sumber telah diadakan bagi memberi pengiktirafan kepada pengawas pusat sumber yang baru dilantik dan memperkenalkan kepada warga SK Bayan Lepas 2.
Sijil pentauliahan telah disampaikan oleh tetamu yang hadir semasa Perhimpunan Khas SK Bayan Lepas 2. Ahmad Yasir dari kelas 6 Cemerlang telah dilantik sebagai Ketua Pengawas Pusat Sumber manakala Nurin dari kelas 6 Aktif dilantik sebagai Penolong Ketua Pengawas Pusat Sumber.



Friday, 3 February 2017

KURSUS KEPIMPINAN PENGAWAS

TEMA

Pengawas Proaktif Pemangkin Kecemerlangan Sekolah

OBJEKTIF

  • Memantapkan pengetahuan sedia ada peserta berkaitan dengan jati diri.
  • Membina kepercayaan dan keyakinan pada diri bahawa dengan persediaan yang mantap boleh menjadikan para pengawas dapat membantu kearah peningkatan akademik dan sahsiah.
  • Melalui aktiviti – aktiviti yang telah dirancang ini , dengan harapan akan menyemarakkan rasa  komitmen yang tinggi dalam diri setiap para pengawas apabila menghadapi tugas yang diamanahkan   
  • Memupuk nilai – nilai kreatif dan semangat dalam proses melengkapkan diri dengan modul yang pelbagai.
  • Menyemarakkan komitmen yang tinggi dalam diri setiap pengawas  apabila menghadapi tugas yang diamanahkan .

TARIKH

1 dan 2 Februari 2017

Program ini dianjurkan oleh Unit Bimbingan & Kaunseling dengan kerjasama Unit Disiplin dan Pengawas serta Pusat Sumber SK Bayan Lepas 2 sebagai sebahagian daripada aktiviti yang telah ditetapkan di dalam takwim tahunan sekolah 2017. Program ini telah melibatkan 50 orang bakal  pengawas sekolah dan 30 orang murid bakal Pengawas PSS bagi sesi 2017. Tujuan utama penganjuran program ini untuk memberi pendedahan pengendalian tugas serta melatih murid sebagai seorang pengawas yang bertanggungjawab dan berwibawa. Selain itu, program ini dijalankan sebagai panduan untuk menghadapi cabaran memikul tugas dan tanggungjawab sebagai seorang Pengawas sekolah dan pengawas PSS. 

Oleh yang demikian, program ini dirancang untuk meningkatkan kemahiran dalam kepimpinan, pengetahuan dan semangat kerjasama di antara Pengawas sekolah dan pengawas PSS. Program ini juga dirancang untuk memberi ruang dan peluang kepada para pengawas untuk menyumbangkan pendapat, idea dan hasil kreativiti mereka kepada sekolah,  serta sesama rakan sejawat. Semoga usaha ini akan memberi manfaat dan hasil kejayaan yang cemerlang dalam menjalankan tugas murni mereka dari masa ke semasa demi mengharumkan nama sekolah .